Siapakah Golongan al-Ahbash?

ISU:

Siapakah golongan al-Ahbash?
 
PENJELASAN:

Al-Ahbash merupakan kumpulan yang dipelopori oleh Sheikh Abdullah ibn Muhammad bin Yusuf al-Harari yang berasal dari Habshah. Mereka mula bergerak aktif di Lubnan pada pertengahan tahun 80-an melalui pertubuhan kebajikan yang bernama Jam’iyyah al-Mashari’ al-Khayriyyah al-Islamiyyah.
 
Kumpulan yang bergerak sebagai badan kebajikan ini berkencenderungan tasauf dan berkembang dengan pesat hingga mempunyai cawangan di banyak negara di dunia. Istilah Ahbash berkait dengan istilah Habshah kerana ia berkait dengan Negara asal pendirinya Sheikh Abdullah iaitu dari Habshah. Beliau lahir sekitar 1910 lahir di Hirara berdekatan Somalia, pernah menjadi Mufti di Oromo. Pada 1947, beliau pergi ke Hijaz setelah dibuang dari Ethiopia, kemudiannya ke Jurusalem dan Damsyik dan akhirnya menetap di Beirut dan menjadi pensyarah di al-Azhar cawangan Lubnan. Kemudiannya beliau mengambil alih pertubuhan Jam’iyyah al-Mashari’ al-Khayriyyah al-Islamiyyah dari Sheikh Muhyiddin al-‘Ajuz.
 
Sejak itu pertubuhan ini berkembang dan dilebih dikenali sebagai al-Ahbash. Golongan Ahbash amat berpengaruh di Lubnan dan berperanan besar dalam politik Lubnan. Pendekatan politik mereka ialah menekankan keberadaan bersama dengan penganut agama lain terutama golongan Kristian di Lubnan. Mereka juga mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan Syria yang mempunyai pengaruh yang kuat dalam politik Lubnan.
 

Namun pendekatan mereka kadangkala bertentangan dengan kelompok Islamis terutama yang diketuai oleh tokoh gerakan Islam seperti Fathi Yakan yang bagi mereka membawa pemikiran agresif dalam politik hasil pemikiran tokoh-tokoh seperti al-Mawdudi, Sayyid Qutb. Ahbash juga aktif dalam menubuhkan institusi pendidikan bermula dari pendidikan pra sekolah, sekolah rendah, menengah sehingga ke peringkat kolej yang mempunyai kaitan dengan kerjasama dengan Universiti al-Azhar. Mereka juga menerbitkan majalah bulanan Manar al-Huda sejak 1992 dan menubuhkan stesen radio yang bernama Nida’ al-Ma’rifah sejak 1998. Laman web mereka juga aktif terutama berkaitan perdebatan dan polemik mereka dengan golongan Wahabiyah. Dari segi akidah, mereka berpegang kepada akidah Asha’irah dan Maturidiyyah sementara dalam fikah bermazhab Shafi’e. Namun kadang kala pendekatan mereka agak keras terhadap kelompok lawan mereka terutama kelompok Wahabiyah. Antara tokoh yang dikritik keras oleh mereka ialah Ibn Taymiyyah dan Muhammad Ibn Abd Wahhab. Dalam akidah, mereka amat menekankan pemahaman bahawa “Allah tidak bertempat” bagi melawan aliran Wahabiyah yang bagi mereka telah terjatuh dalam tajsim dan tashbih melalui kefahaman literal ayat-ayat mutashabihat dalam al-Qur’an seperti “tangan Allah” “wajah Allah” dan lain-lain. Di samping itu mereka juga mempunyai kecenderungan tasauf yang kuat dan mengaitkan diri dengan tiga kumpulan tariqah iaitu Rifa’iyyah, Naqshabandiyyah dan Qadiriyyah. Bertentangan dengan golongan Wahabiyah yang banyak menentang golongan tariqah dan tasauf dan menghukumkannya sebagai bid’ah, golongan Ahbash mengganggap tasauf dan tariqah sebagai bid’ah hasanah yang selari dengan al-Qur’an dan Sunnah. Bagi mengetahui lebih lanjut berkaitan aliran golongan Ahbash boleh merujuk kepada Harsi Muhammad Haylula, Mukhtasar al-Aqidah al-Sunniyyah li al-Allamah ‘Abdallah al-Harari; Mustafa Kabha dan Haggai Erlich, “Al-Ahbash and Wahhabiyya: Interpretations of Islam”, dalam International Journal of Middle East Studies, vol.38,. No.4 (Nov.,2006), hlm.519-538); A Nizar Hamzeh dan R. Hrair Dekmejian, “A Sufi Response to Political Islamism: al-Ahbash of Lebanon” dalam International Journal of Middle East Studies, vol.28, no.2 (May,1996),hlm.217-229.